Skip to main content
GLONASS

Pandu Arah & Penentu Kedudukan

Pandu arah dan penentu kedudukan melalui satelit adalah suatu aplikasi yang amat menarik, yang menghasilkan peningkatan dalam produktiviti dan kejituan dalam sebilangan besar industri. Di samping itu, ia menambah keseronokan dan keselamatan  kepada pelbagai aktiviti pandu arah, sukan dan riadah.

Sistem Penentududukan Global (GNSS) terdiri daripada tiga bahagian: angkasa, kawalan operasi dan pengguna. Bahagian angkasa berasaskan sekumpulan satelit beroperasi yang direka bentuk bagi meminimumkan impak kegagalan atau ketidakdapatan. Kumpulan satelit ini mengelilingi bumi dua kali dalam sehari dalam suatu orbit yang tepat, dan menyampaikan maklumat berbentuk isyarat ke bumi.

Selaku tingkat pertama dalam aplikasi pandu arah dan penentu kedudukan, GNSS mewakili rangkaian satelit yang memancarkan isyarat radio berfrekuensi tinggi yang mengandungi data masa dan jarak yang boleh disambut oleh suatu alat terima, yang seterusnya membolehkan pengguna mengenal pasti lokasi mereka di mana jua di dunia, secara tepat.

Kini terdapat dua GNSS yang beroperasi: U.S Global Positioning System (GPS) dan Russian Global Navigation Satellite System (GLONASS), walaupun sebenarnya GLONASS belum lagi beroperasi sepenuhnya. GNSS  yang ketiga, bernama GALILEO, sempena ahli astronomi Itali pada awal 1600-an, sedang dibina di Eropah. GIOVE (Galileo In Orbit Validation Element) ialah fasa pertama projek Galileo yang dilancarkan pada 28 Disember 2005 dari Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan.

Alat terima khusus mengambil maklumat ini dan menggunakan kaedah segi tiga untuk menghitung lokasi pengguna dengan tepat. Pada dasarnya, alat terima membuat perbandingan antara waktu sesuatu isyarat itu dipancarkan oleh satelit dengan waktu isyarat itu diterima. Perbezaan waktu menunjukkan jarak antara satelit dengan alat terima. Jika ukuran jarak diperoleh daripada beberapa satelit lagi, alat terima akan dapat menentukan kedudukan pengguna dan mempamerkannya pada peta elektronik unit berkenaan. Satu alat terima GPS perlu diikat pada isyarat daripada sekurang-kurangnya tiga satelit bagi menghitung kedudukan 2D (latitud dan longitud) dan mengesan pergerakan. Dengan empat atau lebih satelit, alat terima mampu menentukan kedudukan 3D pengguna (latitud, longitud dan altitud). Sebaik sahaja kedudukan pengguna ditentukan, unit GPS berkenaan boleh menghitung maklumat lain, seperti kelajuan, bearing, jejak, jarak perjalanan, jarak ke destinasi, waktu terbit dan terbenam mata hari, dan banyak lagi.