W3C Reset Pink Merah Hijau Kuning    |   Besar Kecil Kecil  
Selasa, 26 September 2017 
Home

Makanan di Angkasa

Diet Graviti Sifar
Ingin mengurangkan berat badan? Apa kata anda luangkan masa beberapa bulan di Stesen Angkasa Antarabangsa. Sejurus kembali dari misi Stesen Angkasa, para Angkasawan biasanya mendapati berat badan mereka kurang sekitar 5 peratus daripada berat badan asal.Namun, walaupun pengurangan berat badan tersebut mungkin merupakan sesuatu yang menarik bagi pemerhati di bumi, sebenarnya perkara ini membimbangkan bagi angkasawan sihat yang pada hakikatnya tidak mempunyai lebihan berat badan untuk dikurangkan.

Angkasawan biasanya turun berat badan kerana kurang makan. Secara purata, pengambilan kalori angkasawan kurang 20 peratus daripada ambilan harian yang disyorkan. Kekurangan ambilan kalori ini sesuatu yang tidak sepatutnya. Mereka memerlukan kalori secukupnya sebab kajian menunjukkan bahawa walaupun pergerakan dalam keadaan graviti sifar itu kelihatan tersangat mudah, tenaga yang digunakan oleh angkasawan yang bekerja dalam orbit adalah sama dengan tenaga yang mereka gunakan apabila di bumi.

Bagaimanakah seorang angkasawan mengukur berat badannya - malah berat apa-apa benda pun - di angkasa? Suatu alat dengan lengan besi yang diletakkan beban berspring mengenakan daya kecil terhadap suatu jasad dan mengukur pecutan yang terhasil darinya. Jisim seseorang kemudiannya mampu dikira dengan tepat menggunakan Hukum Gerakan Kedua Newton, yang menyatakan bahawa pada dasarnya semakin tinggi nilai jisim seseorang itu, semakin kurang nilai pecutannya. 

Apabila pengurangan berat badan seteruk yang disebutkan itu berlaku, doktor di bumi yang ditugaskan memantau misi berkenaan menyampaikan maklumat situasi itu kepada angkasawan yang terlibat dan menggalakkannya untuk makan lebih makanan berkalori tinggi. Kajian mendapati bahawa angkasawan yang diberi kaunseling seperti ini dapat dipujuk untuk menukar amalan makanan mereka sehingga berjaya memenuhi keperluan tenaga harian serta mengekalkan berat badan mereka.

Terlampau sedikit, terlampau banyak
Isu lain yang dilaporkan dalam kajian berkenaan tiada kaitan dengan tabiat makan angkasawan. Sebaliknya, keadaan yang mereka alami di dalam orbit Bumi dilihat sebagai penyebab. Sebagai contoh, Vitamin D, yang diperlukan untuk pengekalan dan pertumbuhan tulang, dihasilkan pada kulit seseorang itu melalui suatu tindak balas yang memerlukan cahaya ultralembatung. 

Stesen Angkasa, yang terbang di atas lapisan ozon Bumi, mempunyai pelindung bagi mengelakkannya daripada terkena amaun sinaran ultralembayung yang berbahaya. Malangnya, tindakan ini turut menghalang penghasilan biasa vitamin D pada kulit angkasawan. Angkasawan mengambil suplemen vitamin D bagi mengimbangi kekurangan berkenaan. Walau bagimanapun, timbul pula masalah bahawa badan yang berada di dalam keadaan kenirberatan didapati enggan menggunakan vitamin D yang dibekalkan. 

Justeru, kemerosotan tulang yang dialami angkasawan sewaktu penerbangan angkasa ternyata suatu masalah yang belum dapat diatasi. Zat besi pula merupakan sesuatu yang ada terlampau banyak pada angkasawan. Kajian Stesen Angkasa mengesahkan penemuan awal yang menunjukkan bahawa angkasawan mengumpul amaun zat besi yang luar biasa tingginya dalam bentuk yang dikenali sebagai feritin. Kajian baru yang dipantau dengan teliti memastikan bahawa pengambilan zat besi berlebihan bukanlah penyebabnya. 

Walaupun tidak begitu jelas tentang penyebab yang sebenar, kajian-kajian terawal telah menunjukkan bahawa di angkasa badan dengan sendirinya mengurangkan aktiviti tertentu yang memerlukan zat besi, seperti penghasilan sel darah merah. Isipadu darah dalam peredaran juga berkurangan, memudahkan sistem peredaran darah mengalirkan darah dan oksigen kepada seluruh badan. Ini merupakan satu lagi fenomena yang menunjukkan kemungkinan berlakunya ubahsuaian semula jadi sebagai tindak balas terhadap keadaan kenirberatan.

Kerosakan DNA
Sementara persekitaran angkasa tidak membawa masalah kepada sistem peredaran darah, bahagian lain di badan lebih merasakan tekanannya. Kajian NASA menjumpai tanda-tanda bahawa sistem pemulihan DNA di dalam badan angkasawan bekerja lebih daripada biasa. Operasi berkaitan dimulakan setiap kali bahan kimia atau sinaran merosakkan DNA, dan kesan bukti tindakan sedemikian terdapat dalam hasil sampingan yang dikenali sebagai HdG. Di hujung misi angkasawan, pada kebiasaannya kepekatan 8HdG-air kencing didapati telah meningkat tinggi ke 30 peratus daripada bacaan sebelum penerbangan.

Sinaran dari angkasa menyebabkan sebahagian daripada kerosakan tersebut. Namun pernafasan oksigen tulen, sebagaimana kerap dilakukan angkasawan, mungkin juga merupakan penyebab. Angkasawan menyedut oksigen tulen sewaktu berlepas dan mendarat serta ketika memakai pakaian khas untuk bekerja di luar stesen. Menyedut oksigen pada kepekatan tinggi yang luar biasa diketahui akan merosakkan DNA seseorang melalui tindakan jenis atom oksigen yang dipanggil radikal bebas.

Kerosakan DNA yang dikesan amat membimbangkan lebih-lebih lagi kerana kepekatan nutrien folat di dalam darah angkasawan menurun selepas selesai penerbangan. Folat membantu dalam memulihkan DNA yang rosak. Apa yang melegakan ialah tahap folat meningkat semula apabila angkasawan mengambil suplemen, tidak seperti bagi nutrien lain. Jelaslah bahawa penerbangan angkasa boleh membahayakan kesihatan seseorang. Namun dengan perancangan baru NASA untuk membina sebuah pangkalan di bulan dan untuk akhirnya menghantar angkasawan ke Marikh, para saintis perlu memikirkan bagaimana menangani bahaya-bahaya yang berkenaan. 

Tempoh masa yang biasa bagi angkasawan berada di Stesen Angkasa ialah antara 4 hingga 6 bulan, tetapi sebuah misi manusia ke Marikh boleh melibatkan 3 tahun perjalanan pergi balik. Ini menjadikan nutrisi perkara yang bertambah genting. Berdasarkan tinjauan tentang perubahan berkaitan nutrisi yang berlaku pada pengembara angkasa, penyelidik NASA merancang untuk membuat kajian lanjutan terhadap masalah-masalah yang mungkin timbul daripada perubahan tersebut.

Diet               
Apakah yang angkasawan makan di angkasa? Bolehkah mereka menanam makanan? Apakah antara benda yang angkasawan makan sewaktu di angkasa? Kemajuan dalam teknologi mempakej membolehkan angkasawan menikmati hidangan makan yang serupa dengan apa yang dimakan di bumi tanpa perlu mengejar makanan yang terapung-apung.

Hidangan makan boleh terdiri daripada makanan seperti berikut:

  • Kepingan granola dan kacang
  • Makaroni dan keju dan telur, yang mana angkasawan menambah air kepadanya untuk melembutkannya kembali 
  • Buah-buahan, yogurt dan daging yang dirawat dengan haba untuk memusnahkan bakteria 
  • Aprikot dan pic kering yang didehidrat secara separa, dimakan begitu sahaja
  • Steak dan daging lain yang dirawat dengan sinaran untuk memusnahkan mikrob

Sebahagian makanan sebenarnya berbahaya di angkasa, seperti roti dan makanan lain yang menghasilkan cebisan atau serbuk. Angkasawan boleh jatuh sakit dengan menyedut cebisan roti yang terapung-apung di dalam kabin, atau cebisan itu boleh mengganggu eksperimen saintifik yang terdapat berhampiran dengannya. Makanan panas juga berbahaya kerana jika ia terlepas dan terapung serta menyentuh seorang angkasawan, ini mungkin mengakibatkan angkasawan itu terbakar.Untuk maklumat yang lebih terperinci tentang bagaimana angkasawan makan di angkasa.


Links

Makanan Angkasa

Kembali ke atas