W3C Reset Pink Merah Hijau Kuning    |   Besar Kecil Kecil  
Jumaat, 14 Disember 2018 
Home

ISTIWA' ADZAM

ISTIWA’ ADZAM SUATU KEJADIAN ALAM YANG HARUS DISYUKURI 
Disediakan oleh : Ahmad Mu’az bin Supian 
Observatori Negara Langkawi

 

PENDAHULUAN 
Istiwa’ Adzam merupakan transit utama Matahari yang mana Matahari berada tegak di atas Ka’abah sewaktu melintasi Ka’abah. Matahari akan berada tegak di atas Ka’abah menyebabkan tiada bayang-bayang akan terhasil bagi sesiapa yang berada di Ka’abah pada waktu tersebut. Kejadian ini juga dikenali sebagai “Hari Tanpa Bayang” dan hal ini membolehkan negara-negara yang berada jauh dari Ka’abah dapat menyemak arah kiblat bagi tempat masing-masing. Bayang-bayang yang terhasil akan menunjukkan ke arah Ka’abah dan teknik ini merupakan salah satu teknik semakan arah kiblat yang tepat dan boleh digunapakai oleh umum. 
 
BILAKAH BERLAKU ISTIWA ADZAM ? 
Istiwa’ Adzam berlaku pada setiap tahun sebanyak 2 kali pada tarikh dan waktu yang sama merujuk kepada Waktu Piawaian Malaysia iaitu 28 Mei pada jam 5.16 petang dan 16 Julai pada jam 5.28 petang. 

BAGAIMANA ISTIWA ADZAM BOLEH BERLAKU ?  
Dari sudut pandang astronomi, matahari akan berada tegak di atas Ka’abah sebanyak 2 kali setiap tahun. Hal ini terjadi kerana nilai deklinasi matahari adalah bersamaan dengan latitud Ka’abah iaitu 21.4225 darjah Utara (21° 25’ 21” U) pada 28 Mei jam 5.16 petang dan sekali lagi pada 16 Julai jam 5.28 petang.  
 
Deklinasi merujuk kepada jarak dari ekuator Bumi ke ketinggian tertinggi Bumi iaitu Kutub Utara dari 0° sehingga +90° Utara dan jarak ekuator Bumi ke Kutub Selatan iaitu dari 0° sehingga -90° Selatan. Matahari mempunyai deklinasi sejauh maksimum +23.5° Utara dan -23.5° Selatan. Hal ini bermaksud kedudukan Matahari akan berada sejauh +23.5° Utara dan sejauh -23.4°  Selatan dan ia tidak akan melebihi nilai deklinasi tersebut. Jadi, sewaktu Matahari sedang menghampiri deklinasi +23.5° Utara iaitu deklinasi Matahari maksimum, deklinasi Matahari akan bersamaan dengan latitud Ka’abah iaitu 21° 25’ 21”. Jadi, hal ini jelas menerangkan tentang bagaimana Istiwa Adzam atau Matahari berada tegak di atas Ka’abah pada tarikh dan waktu tersebut. 
 

Deklinasi Matahari, δ  = Latitud Ka’abah, ϕ 
21° 25’ 21” = 21° 25’ 21” 

 

BAGAIMANAKAH KITA MENENTUKAN KIBLAT KETIKA ISTIWA’ ADZAM ? 
Untuk menentukan kiblat ketika Istiwa’ Adzam, kaedah yang paling mudah dan pantas yang digunakan adalah seperti berikut :  
1. Dirikan tegak sebatang kayu atau besi atau apa-apa objek legap yang boleh membentuk bayang-bayang lurus. (bangunan, pokok, tiang elektrik juga boleh dijadikan rujukan) 
2. Apabila jam menunjukkan 5.16 petang pada 28 Mei, perhatikan bayang-bayang yang terhasil oleh objek tersebut. (5.28 petang pada 16 Julai) Bayang-bayang akan menghala ke arah timur iaitu bertentangan dengan Matahari yang berada di Barat. 
3. Lukiskan satu garisan yang lurus selari dengan bayang-bayang tersebut dengan pensel atau marker. 
4. Arah kiblat kita menghala ke arah Matahari. 
 

 

ADAKAH TARIKH ISTIWA’ ADZAM BERLAKU SETIAP TAHUN ?  
Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, kejadian Istiwa’ Adzam ini akan terjadi pada setiap tahun sebanyak 2 kali pada tarikh dan waktu yang sama disebabkan deklinasi Matahari bersamaan dengan latitud Ka’abah. Namun begitu, sekiranya tahun tersebut merupakan tahun lompat maka tarikh Istiwa’ Adzam akan jatuh pada 29 Mei dan 17 Julai. 

ADAKAH ARAH KIBLAT JUGA TELAH BERUBAH ? 
Soalan ini merupakan antara soalan popular yang sering ditanya oleh netizen. Kejadian Istiwa’ Adzam bukanlah suatu fenomena atau kejadian yang merubah bentuk geografi sesuatu tempat tetapi kejadian Istiwa’ Adzam hanyalah lintasan Matahari di atas Ka’abah yang mana bayang-bayang tidak dapat dilihat bagi sesiapa yang berada di Ka’abah. Bagi sesiapa yang berada berjauhan dari Ka’abah, kejadian ini merupakan peluang keemasan untuk menyemak arah kiblat kerana bayang-bayang yang terhasil akan menunjukkan ke arah Ka’abah (kiblat). Jadi, bagi menjawab persoalan tersebut, jawapannya adalah tidak sama sekali arah kiblat telah berubah. 

 

KESIMPULAN  
Istiwa’ Adzam merupakan salah satu kurniaan Allah kepada umat manusia untuk menyemak arah kiblat di tempat masing-masing. Nikmat yang diberikan ini haruslah disyukuri kerana peluang keemasan ini hanya berlaku 2 kali dalam setahun sahaja. Dari sudut pandang astronomi, ia merupakan kejadian alam dan aturan perjalanan objek samawi yang begitu indah yang Allah sediakan kepada kita untuk dimanfaatkan. Sesungguhnya setiap kejadian yang berlaku itu ada manfaatnya dan tidaklah Allah jadikan sesuatu itu sia-sia. 

(Iaitu) Orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.” 
(Ali-Imran: 191) 

 

MUAT TURUN TEKS

Malay
Kembali ke atas